UPSI Komited Bina Graduan Masa Depan Menerusi Inovasi dan TVET

 

Oleh: Bazli Raza

TANJUNG MALIM, 20 Mei – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melakar sejarah apabila berjaya menganjurkan tiga program utama secara serentak, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam transformasi pendidikan tinggi negara.

Program yang berlangsung selama beberapa hari itu merangkumi ‘International Education Innovation Competition’ (Edu@Innovate 2025), Festival TVET, dan Seminar Kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25), dengan turut disertakan Mini Festival Idea Putrajaya (PFOI) @ Perak 2025.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata penganjuran serentak program tersebut merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memacu inovasi, memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta menstruktur semula program akademik selaras keperluan semasa.

“Gabungan tiga program utama ini memperlihatkan pendekatan menyeluruh UPSI dalam mentransformasi pendidikan melalui inovasi, pembangunan kemahiran teknikal serta evolusi akademik yang lebih holistik dan terbuka.

“Edu@Innovate 2025 telah menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Turki, Filipina, Indonesia, Korea, China dan Uzbekistan. Sebanyak 30 agensi dan industri turut serta dalam pameran inovasi yang berlangsung.

Dalam pada itu, majlis tersebut menyaksikan penyerahan dokumen kolaborasi antara UPSI dan 12 agensi serta industri, membabitkan komitmen bernilai RM10 juta dalam bentuk tunai dan sumbangan barangan.

“Kolaborasi strategik ini adalah cerminan kejayaan besar UPSI dalam membina hubungan sinergistik dengan industri, sekali gus mengukuhkan keupayaan kami dalam melahirkan graduan yang relevan dan bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja.

Mini PFOI yang dianjurkan bersempena program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memperluas jenama Putrajaya sebagai ‘Bandar Idea’.

Menurut beliau, UPSI merupakan institusi pertama menganjurkannya di luar Putrajaya dengan sokongan Yayasan Perak, Institut Darul Ridzuan, UiTM Seri Iskandar dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Mengulas mengenai Festival TVET, beliau berkata program itu memperlihatkan potensi besar pendidikan vokasional dalam membentuk tenaga kerja masa depan yang bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga memiliki nilai-nilai insaniah dan budaya.

“TVET bukan lagi laluan alternatif, tetapi pilihan strategik negara. Kami percaya bahawa integrasi nilai, keusahawanan dan teknologi baharu dalam program TVET akan memperkasa generasi akan datang,” katanya.

Bagi Seminar SEPAKAD’25, perbincangan tertumpu kepada transformasi dan kelestarian program akademik, khususnya dalam menghadapi cabaran Generasi Alfa dan keperluan kepada program yang lebih fleksibel.

“Kita perlu berani menstruktur semula penawaran akademik agar lebih responsif terhadap kehendak masa depan, tanpa meninggalkan jati diri dan nilai pendidikan,” katanya.

 

Oleh: Bazli Razak

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *