Warga emas cuba seludup tujuh tong diesel ditahan

SEORANG warga emas bertindak berani melanggar undang-undang dengan cuba menyeludup 129 liter minyak diesel menggunakan kenderaan pacuan empat roda miliknya.

 

Lelaki berusia 71 tahun itu bagaimanapun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Changkat Jong, dekat sini, pada jam 8.02 malam Rabu.

 

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki terbabit melalui Ops Tiris yang KPDN Cawangan Teluk Intan yang memantau dan memeriksa aktiviti penyelewengan barang kawalan ke atas stesen-stesen minyak.

 

Ujar beliau, melalui operasi tersebut, pihaknya berjaya mengesan seorang individu yang sedang mengisi diesel ke dalam tong yang berada di atas kenderaan di sebuah stesen minyak.

 

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan ke atas individu tersebut, menjumpai sebanyak 129 liter minyak diesel di dalam tujuh tong yang berada di atas kenderaan pacuan empat roda miliknya.

 

“Seorang lelaki yang mengaku membeli minyak diesel tersebut didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan,” katanya.

 

Ujar Kamalludin, kesemua tong yang berisi bahan api berkenaan bersama kenderaan pacuan empat roda terbabit disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30,000.

 

Katanya, kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

 

“Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuk syor pembatalan Lesen runcit barang kawalan berjadual (CSA) minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini.

 

“KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan, kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan,” katanya lagi.

 

Sumber Careta.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *