150 keluarga terima baucar beli-belah RM150, ringankan beban sambut hari raya

rhdr
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seramai 150 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang menerima baucar beli-belah dari Mydin Meru Raya berjumlah RM150 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Wakil rakyatnya, Cheah Pou Hian berkata pemilihan penerima dibuat berdasarkan carian yang dilakukan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Silibin dan Puncak Jelapang membabitkan penerima yang berusia seawal lima tahun hingga ke warga emas berumur 80 tahun.
Menurutnya, agihan baucar diberikan kepada mereka yang benar-benar layak terutamanya keluarga asnaf dan B40.
“Pemberian baucar ini sesuai dengan situasi terkini terutama peningkatan kos sara hidup dan harga barangan keperluan isi rumah yang turut mengalami kenaikan.
“Kuota untuk DUN Jelapang diberi oleh kerajaan negeri kami manfaatkan sepenuhnya dan beri kepada mereka yang berkelayakan.
“Penerima boleh membeli-belah menggunakan baucar itu sebagai persiapan untuk perayaan Aidilfitri pada minggu hadapan,” katanya.
,

Beliau berkata demikian selepas selesai mengagihkan baucar RM150 pada Program Bantuan Meriah Beraya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak Sempena Sambutan Aidilfitri 2023 di pusat beli belah Mydin Meru Raya, pagi Sabtu.
Sementara itu, seorang penerima Norizan Ariffin, 35, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Pou Hian yang prihatin dengan keperluan keluarganya.
Ibu kepada tiga orang anak ini mengalami patah kaki tiga bulan lalu selepas terjatuh dari tangga di kediamannya menyebabkan dia perlu menaiki kerusi roda untuk bergerak.
“Alhamdulillah, di atas bantuan yang diberikan. Baucar ini akan digunakan untuk membeli pakaian hari raya untuk anak-anak saya,” katanya.
Kerajaan Negeri Perak menyumbangkan RM1.35 juta kepada 9,000 orang penerima untuk membeli belah di bawah program tersebut.
Sasaran penerima terdiri daripada anak-anak yatim, anak-anak orang miskin dan mereka yang kurang berkemampuan dari 59 DUN di negeri ini.
#PerakKini #DUNJelapang #bantuanraya #MydinMeruRaya #RBZ
