1,611 doktor kontrak di Perak tidak sertai mogok – Exco

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH -Jabatan Kesihatan Negeri Perak tidak menerima sebarang laporan aktiviti mogok oleh kumpulan doktor kontrak di negeri ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Negeri Perak, A Sivanesan berkata beliau berpuas hati melalui maklum balas yang diterima daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak bahawa kesemua 1,611 doktor kontrak di negeri ini hadir menjalankan tugas seperti biasa.

“Saya berpuas hati dengan 1,611 doktor kontrak di Perak yang membabitkan lebih 400 doktor pakar, 200 lebih doktor housemanship (yang menjalankan latihan amali) dan baki, doktor perubatan kesemua telah datang bekerja hari ini (semalam).

“Pagi ini (semalam) saya telah berjumpa dengan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan meminta beliau untuk menyiasat siapa dalang di sebalik rancangan mogok itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Media bersama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Negeri Perak anjuran Persatuan Pengamal Media Perak di Restoran D’ Atas, malam tadi.

Menurutnya, isu doktor kontrak mogok ini dilihat sengaja diadakan untuk menakutkan rakyat.

“Sebenarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah beri ‘Aku Janji’ di Parlimen pada Jumaat lalu bahawa 1,500 doktor kontrak akan diletakkan di bawah Skim Perkhidmatan Tetap manakala baki 1,500 lagi akan diserap pada tahun hadapan dan menjelang 2025 kesemua jawatan doktor kontrak akan dihapuskan.

“Jadi, tidak ada isu untuk doktor kontrak melakukan mogok. Mereka harus tahu hanya kesatuan yang boleh menganjurkan mogok di bawah Seksyen 45, Akta Perhubungan Perusahaan. Jika bukan ahli kesatuan, mereka tidak boleh berbuat demikian,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula Isnin yang tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Selain itu, jurucakap terbabit turut mendakwa bahawa mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

#PerakKini #KKM #doktorkontrak #mogok #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *