18.3 tan lebihan makanan, minuman bazar Ramadan diselamatkan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kira-kira 18.3 tan metrik lebihan makanan dan minuman berjaya diselamatkan dan diagihkan dengan pembabitan peniaga-peniaga dari 46 bazar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata jumlah itu direkodkan bermula awal Ramadan sehingga hari ini.

Menurutnya, lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual di bazar Ramadan tetapi masih boleh dimakan itu diedar kepada golongan memerlukan hasil kerjasama dengan 1,163 sukarelawan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) serta peniaga.

“Sebelum ini mereka dah buat sendiri (program itu) tetapi tahun ini menjadi rakan strategik bersama KPDN kerana kita nak memulakan usaha untuk menyelamatkan makanan.

“Saya dimaklumkan Pemuda GEMA daripada hari pertama Ramadan sehingga hari ini telah menyelamatkan lebih 18,376.7 kilogram (kg), maksudnya lebih 18 tan makanan dan minuman yang diselamatkan dan diberikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Kasih Sayang di Taman Cempaka, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata di Perak sebanyak 489.7 kg lebihan makanan dan minuman berjaya diselamatkan di Bazar Ramadan Medan Gopeng dan BRR Taman Cempaka membabitkan 57 sukarelawan Pemuda GEMA Perak.

#PerakKini #KPDN #BazarRamadanRahmah #lebihan #makanan #minuman #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *