5 ladang babi ditutup di Perak, 8,990 babi dilupuskan susulan Demam Babi Afrika (ASF)

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lima ladang ternakan babi ditutup di Perak membabitkan satu di Kuala Kangsar dan empat lagi di Batang Padang (empat) selepas haiwan itu dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF).
Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan (gambar) berkata penutupan tersebut bertujuan untuk melaksanakan kerja memusnahkan ternakan yang dijangkiti supaya risiko penyebaran wabak berkenaan dapat dicegah.
Menurutnya, penyakit itu bagaimanapun tidak menjangkiti manusia dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai situasi tersebut.
“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengambil tindakan bagi mengawal keadaan dan nampaknya tiada peningkatan kes dicatatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas mengikuti Operasi Label Makanan Sempena Tahun Baharu Cina bersama Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan memaklumkan setakat ini sebanyak 8,990 ekor babi telah dilupuskan dengan nilai kerugian dialami penternak dianggarkan RM12 juta.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana (penternak di) 85 ladang khinzir di Perak memberi jaminan tiada kenaikan harga dan bekalan daging itu masih mencukupi sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Bagaimanapun, penternak tidak dapat memberi jaminan bahawa keadaan ini terkawal selepas Tahun Baharu Cina. Mengikut mereka (penternak) mungkin akan berlakunya kekurangan daging khinzir selepas perayaan itu,” jelasnya.
Sebelum ini, Perak melaporkan empat kes penyakit ASF membabitkan dua daerah dari Disember hingga awal tahun ini.
Tiga kes positif ASF dikesan pada ternakan babi komersial iaitu satu di ladang di Bidor, di daerah Batang Padang dan dua lagi di Sungai Siput, di daerah Kuala Kangsar, antara Disember dan 3 Januari lalu.
#PerakKini #DemamBabiAfrika #ASF #Perak
