11 anggota Polis Perak berpangkat Koperal, Lans Koperal positif dadah

Mior Faridalathrash ketika ditemui media selepas melancarkan Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'Awie Tour' 2022 Peringkat Kontinjen Perak di Aeon Kinta City di sini pada Khamis.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seramai 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak ditahan semalam selepas ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati positif terhadap penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ujian saringan air kecil yang dijalankan secara rambang itu membabitkan 56 anggota polis berusia antara 35 hingga 51 tahun dari dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
“Seramai 31 orang daripada IPD pertama telah diambil urin secara rambang dan sembilan daripadanya positif dadah jenis methaphetamine serta amphetamine.
“Manakala, hasil saringan urin yang diambil daripada 25 anggota di IPD kedua mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘Awie Tour’ 2022 Peringkat Kontinjen Perak di Aeon Kinta City di sini pada Khamis.
Katanya, daripada 11 anggota ditahan semalam, hanya seorang sahaja pernah ditangkap sebelum ini di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kesemua anggota yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
“Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun,” ujarnya.
#PerakKini #PDRM #anggotapolis #positif #dadah #Perak
