Penceramah bebas direman lima hari bantu siasatan kes rogol remaja 14 tahun

Penceramah bebas direman lima hari bermula hari ini sehingga 1 Ogos depan di Mahkamah Majistret Ipoh bagi membantu siasatan kes rogol remaja 14 tahun di Perak.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang penceramah bebas ditahan reman selama lima hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Perak.
Perintah reman sehingga 1 Ogos depan itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus di sini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Lelaki berusia 30-an itu kelihatan memakai baju t berwarna ungu, berseluar biru gelap dan bergari ketika dibawa masuk ke dalam mahkamah kira-kira jam 1 petang.
Difahamkan, polis Perak menahan lelaki berkenaan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku di Ipoh pada Januari lalu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang penceramah bebas ditahan polis, selepas dipercayai terbabit kes rogol perempuan berusia 14 tahun.
Setakat ini, empat kertas siasatan sudah dibuka iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak membabitkan pengadu yang sama.
Polis Perak mengesahkan menerima laporan berkaitan perkara itu baru-baru ini dan sedang menjalankan siasatan.
#PerakKini #penceramahbebas #rogol #remaja #reman #Ipoh
