13 penunggang motosikal termasuk 2 positif dadah ditahan dalam Op Samseng Jalanan

Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Jelapang, Ipoh. - Foto: Ihsan PDRM

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seramai 13 penunggang motosikal termasuk dua positif dadah jenis methamphetamine ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan Jalan Jelapang, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata operasi itu membabitkan 80 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan sembilan orang pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

Menurutnya, sebanyak 72 buah motosikal dan 85 individu diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan sebanyak sembilan motosikal telah disita dan 11 orang ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya serta pemalsuan nombor kenderaan.

“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Jelapang, Ipoh. – Foto: Ihsan PDRM

Dalam operasi sama, Yahaya berkata sebanyak 187 saman trafik turut dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

Katanya, pihaknya bersama AADK Perak juga berjaya menahan dua lelaki kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

“Susulan itu, kita akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di Ipoh.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan kesemua pengguna jalan raya,” ujarnya.

#PerakKini #AADK #opsamsengjalanan #Ipoh #Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *