Abang dipercayai tikam adik sampai mati sebelum menamatkan riwayat

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang abang menamatkan riwayatnya dengan menggantung diri selepas dipercayai menikam adiknya sehingga mati dalam kejadian yang berlaku di Jalan Mohamad Naseh, Housting Trust, pagi tadi.
Suspek yang berusia 69 tahun adalah seorang pemandu teksi manakala mangsa berusia 67 tahun adalah seorang pemandu Grab.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan daripada Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 kira-kira jam 10.28 pagi daripada seorang pengadu memaklumkan ada pergaduhan di rumah jirannya.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati insiden itu dipercayai berlaku lebih kurang jam 10.20 pagi di dalam rumah yang didiami dua keluarga kelurga adik beradik (mangsa dan suspek) bersama isteri dan anak kepada suspek.
“Menurut, saksi kejadian iaitu isteri mangsa memberitahu pada jam 10.20 pagi ketika berasa di dalam bilik, dia mendengar bunyi bising di bahagian dapur rumah.
“Apabila isteri mangsa keluar, dia telah nampak suspek dan suaminya sedang bergaduh.
“Pada masa sama, saksi (isteri mangsa) melihat suspek yang memegang senjata parang telah menikam bahagian hadapan badan mangsa beberapa kali sebelum suspek melarikan diri.
“Saksi kemudian menghubungi talian 999 untuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika polis daripada Balai Polis Pasir Putih tiba di lokasi kejadian mereka menemui mangsa dalam keadaan berdarah di bahagian dapur rumah.
“Pemeriksaan lanjut sekitar lokasi kejadian turut menjumpai seorang lelaki (suspek) berada di bahagian luar rumah (tepi dinding) dalam keadaan bersandar dan terdapat tali rafia di leher dipercayai telah membunuh diri,” katanya.
Azizi berkata mayat dua beradik itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#PerakKini #PDRM #bunuh #bunuhdiri #Ipoh
