Susulan keputusan kes Najib: Sokongan BN tidak terjejas
Gambar fail.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat tidak terjejas susulan keputusan penghakiman kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata semua parti politik termasuk BN akan tetap berusaha memenangi hati pengundi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Tiada kesan (kes penghakiman Najib) kerana orang lain akan tetap keluar mengundi dan parti-parti politik termasuk BN yang berhasrat untuk memenangi pilihan raya, dalam apa keadaan sekali pun kita tetap ‘all out’ untuk berkempen menarik pengundi pada hari mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian penutup State Leadership Summit 2022 di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Rabu.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
#PerakKini #BN #Perak