MASALAH PEMILIKAN RUMAH UNTUK GOLONGAN MUDA

IPOH : Adun Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin, hari ini meminta agar pihak Kerajaan Negeri Perak untuk memikirkan kaedah yang lebih baik bagi menangani masalah pemilikan rumah bagi golongan muda di negeri ini.

 

Beliau berkata ketika perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Negeri Perak Kelima Belas.

 

Menurutnya, inisiatif sedia ada oleh pihak kerajaan negeri seperti Program Rumah Perakku dan Skim Sewa Perak Sejahtera masih tidak mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda negeri Perak.

 

Tambahnya, inisiatif-inisiatif yang ditawarkan meletakkan terma dan syarat yang agak sukar untuk dipenuhi oleh ramai anak muda.

 

Beliau dalam perbahasannya telah mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak kerajaan negeri bagi menangani masalah pemilikan rumah ini, antaranya pengwujudan kuota perumahan bagi golongan muda, pengwujudan skim perumahan berkonsepkan ‘rent-to-own’ dan penyediaan pinjaman bank dengan jaminan kerajaan bagi pinjaman perumahan.

 

“Adalah besar harapan saya agar kerajaan mengambil berat isu pemilikan rumah bagi golongan muda dan melonggarkan syarat – syarat pemilikan terutama pinjaman dengan pihak bank dan kadar bayaran bulanan” ujar beliau.

 

“Golongan muda ini adalah aset penentu masa depan negara dan pemilikan rumah pertama ini adalah impian mereka Dan sudah sewajarnya kerajaan membantu mereka memiliki rumah impian mereka” ujarnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *