UMNO Perak seru ahli parti bertenang, jangan putus harapan

Saarani.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Badan Perhubungan UMNO Perak menyeru supaya ahli parti itu bertenang dan jangan putus harapan bagi meneruskan semangat juang Datuk Seri Najib Tun Razak demi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keputusan menjatuhkan hukuman terhadap mantan presiden UMNO itu tidak akan mampu memadam ingatan rakyat terhadap jasa, sumbangan dan bakti besar yang ditaburkan kepada rakyat dan negara selama ini.

“Walaupun beliau dikurung di sebalik tirai besi, semangat perjuangan beliau akan diteruskan oleh setiap pemimpin dan anggota parti bagi memastikan prinsip keadilan yang selama ini menjadi antara tiang negara dapat kembali ditegakkan,”  katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani turut memaklumkan bahawa UMNO Perak menzahirkan rasa simpati dan dukacita di atas keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan kesalahan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Meskipun menghormati keluhuran Institusi Kehakiman, kami berasa kecewa kerana Datuk Seri Najib gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti-bukti baharu yang pada pendapatnya boleh diguna pakai bagi mempertahankan haknya di dalam perbicaraan tersebut.

“Kegagalan tersebut menimbulkan persepsi di pihaknya bahawa usaha-usaha untuk mempertahankan dirinya tidak dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

#PerakKini #UMNO #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *