Perakam foto tular dakwa kereta ‘double park’ milik polis halang lalu lintas, dicari

Foto tular di media sosial dakwa polis halang lalu lintas kerana 'double park' di Ipoh.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis sedang giat mengesan individu yang merakam imej memaparkan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam dilihat menghalang lalu lintas dipercayai berlaku di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) dan tular di media sosial pada Isnin.

Imej tular itu segera mendapat perhatian orang ramai apabila terdapat vest polis diletakkan di bahagian hadapan kenderaan tersebut seolah-olah memberikan gambaran bahawa pemilik kereta berkenaan adalah anggota polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata susulan hantaran yang tular di media sosial itu, polis sedang mengesan individu yang merakam gambar tersebut untuk membantu mengenal pasti pemilik kereta terbabit.

“Justeru, kita menyeru kepada individu yang merakam gambar berkenaan sewaktu kejadian supaya berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Koo Boon Kuat di talian 016-417 3222 bagi membantu siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kandungan hantaran tersebut yang boleh menjejaskan siasatan mahupun reputasi polis.

#PerakKini #PDRM #imej #tular #kereta #parkir #halangjalan #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *