Sindiket seleweng diesel subsidi berselindung di sebalik syarikat kuari tumpas

Foto: KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai berselindung di sebalik sebuah syarikat kuari di Manjung dekat sini, pada Isnin.

Dalam serbuan ke sebuah premis di kawasan kuari itu, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Manjung turut menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 69 dan 53 tahun yang disyaki sebagai dalang utama bagi membantu siasatan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata kejayaan Op Tiris ini adalah hasil pemantauan dan intipan selama seminggu ke atas aktiviti pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar Manjung menggunakan lori.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas premis menemui satu unit tangki dianggarkan berkapasiti maksimum 15,000 liter, sebuah lori dan cecair disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 2,250 liter.

“Selain itu, beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel turut ditemui dalam premis berkenaan.

“Semua barang yang disita dianggarkan berjumlah RM46,800,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, modus operandi aktiviti penyelewengan ini adalah dengan menggunakan lori yang disyaki diubah suai tangki asal kenderaan untuk membeli minyak diesel di stesen minyak secara berulang kali untuk mengaburi kegiatan haram ini.

“Setiap pembelian dianggarkan sebanyak 250 liter dan pembelian itu akan berulang sehingga empat kali setiap hari. Kemudian, lori tersebut akan ke sebuah kawasan kuari di Manjung dan minyak diesel itu akan dipindahkan ke dalam sebuah tangki,” jelasnya.

Kamalludin berkata, minyak diesel bersubsidi ini disyaki disimpan sementara untuk kegunaan jentera atau kenderaan milik syarikat sahaja.

“Pihak syarikat sepatutnya membeli dan menggunakan diesel kategori komersial atau industri bukannya diesel bersubsidi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

#PerakKini #KPDN #rampasan #diesel #bersubsidi #Manjung #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *