Isu tular ‘double parking’: Pemandu dan pemilik kereta dikenakan 3 saman trafik

Foto tular di media sosial dakwa polis halang lalu lintas kerana 'double park' di Ipoh.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – bertindak mengeluarkan tiga saman trafik kepada pemandu dan pemilik kereta jenis Proton Saga berwarna hitam yang menghalang lalu lintas di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) dan tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata hasil kerjasama perakam gambar kereta yang tampil memberikan maklumat, pihaknya mendapati pemilik kereta adalah seorang anggota polis yang bertugas di Batu Gajah.

Menurutnya, dalam kejadian lebih kurang jam 6.29 petang Sabtu lalu, kereta itu dipandu ahli keluarga anggota polis terbabit tanpa lesen memandu.

“Semakan lanjut mendapati vest polis yang terletak di atas dashboard kereta adalah anggota polis berkenaan.

“Susulan kejadian itu, dua saman trafik dikeluarkan ke atas pemandu di bawah Kaedah 16(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [ΕΝ 166/59] atas kesalahan halangan lalu lintas dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah.

“Manakala, pemilik kereta dikenakan saman di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana membenarkan seseorang memandu kenderaan tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Yahaya berkata siasatan kes itu akan dimaklumkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk siasatan dari sudut tatatertib terhadap pemilik kereta yang juga anggota polis kerana siasatan terhadapnya masih diteruskan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Dalam pada itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang prihatin kerana memberi maklumat kepada pihak polis tentang kejadian ini dan membantu polis menyelesaikan kes dalam masa singkat,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau memberi komen tidak bertanggungjawab mengenai berita tular dalam internet sebelum memperoleh pengesahan daripada pihak berkuasa untuk mengelakkan berlakunya unsur fitnah ataupun mendatangkan kegusaran kepada masyarakat umum.

#PerakKini #PDRM #imej #tular #kereta #parkir #halangjalan #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *