Ambil ‘mood’ Ramadan, Hotel Excelsior edar 4,000 bubur lambuk percuma

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sempena Ramadan yang bakal disambut, Hotel Excelsior mengambil inisiatif mengedarkan 4,000 bubur lambuk percuma secara pandu lalu kepada mereka yang melalui hadapan hotel berkenaan petang tadi.
Konsultan Hotel Excelsior, Marina Abdul Hamid berkata kira-kira 45 orang terdiri daripada kakitangan hotel, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan bergotong royong memasak dan mengedar bubur lambuk pada hari ini.
“Sebanyak empat periuk besar dengan 35 kilogram beras bersama bahan-bahan lain digunakan untuk membuat bubur lambuk ini.
“Kita mula memasak bubur lambuk ini bermula dari jam 10.30 pagi dan berakhir pada 1.30 tengah hari, seterusnya kita bungkus sebelum diedarkan kepada orang ramai bermula jam 4 petang,” katanya.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Lih Sze Yee serta Pengarah Kanan Perkhidmatan MBI, Zulkiflie Jaafar Sidek bersama-sama mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna yang melalui Jalan Sultan Abdul Jalil.
#PerakKini #MBI #HotelExcelsior #buburlambuk #percuma #RBZ
