Isu ‘Thai Hot Guy’ – DBKL semak premis anjur acara hiburan di Ibu Negara

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat penganjur berhubung satu acara hiburan di sebuah premis di ibu negara.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin nenerusi kenyataan berkata siasatan awal DBKL mendapati premis itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd, namun telah tamat tempoh pada 4 Februari 2021.

“Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan (di samping itu) juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan,” katanya.

Beliau memaklumkan Pejabat Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah menerima laporan berhubung acara hiburan yang bakal dianjurkan di Jalan Tun Razak di sini pada 30 Mac bermula 6.00 petang.

Katanya setelah meneliti iklan di laman Facebook premis berkenaan, pihaknya mendapati acara hiburan berkenaan bakal menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.

Ahad lepas, premis yang dikenali sebagai Privacy Club menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menampilkan model ‘Thai Hot Guy’ sebagai tetamu undangan penghias poster dan ia telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *