MBI hantar surat kepada KBS mohon dana naik taraf rumput Zeon Zoysia di Stadium Perak

Foto: Perak FC Official

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah menghantar surat kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memohon dana bagi menaik taraf padang bola sepak di Stadium Perak menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata surat itu dihantar pada Rabu lalu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, padang itu sudah 26 tahun menggunakan rumput jenis cow grass dan belum berganti sejak 1997.

“MBI sudah hantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) dua hari lalu. Harap-harap luluslah

“Kalau boleh kita nak ganti (rumput) dulu lepas itu baru MBI akan buat kerja-kerja maintenence (penyelenggaraan). Rumput sedia ada sejak Piala Dunia Remaja 1997 dan sudah 26 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran MBI, M Roof Hotel, Pasar Raya Econsave, Navira Meditech dan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Rumaizi berkata MBI juga akan melobi supaya perlawanan peringkat antarabangsa diadakan di Stadium Perak jika permohonan itu diluluskan.

Sebelum ini, KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama Exco setiap negeri yang diadakan Januari lepas dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka akan disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

#PerakKini #KBS #MBI #padangbolasepak #rumput #baharu #zeonzoysia #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *