Lima lagi lebuh raya laksana pembayaran terbuka September ini

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Lima lagi lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol pada September ini.

Lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Sebelum ini, enam lebuh raya telah diumumkan akan melaksanakan sistem yang sama adalah Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan melalui penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan 11 lebuh raya yang akan menggunakan sistem berkenaan untuk kemudahan pengguna.

Menurutnya, syarikat konsesi lima lebuh raya itu bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem berkenaan, yang akan bermula pada pertengahan September ini.

Katanya, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi Lane Free Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

“Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka inu menggunakan pelbagai teknologi yang sesuai dan salah satu langkah persediaan peralihan ke arah MLFF, dengan terminal pembayaran tol menggunakan kad debit atau kredit disediakan pada satu lorong di plaza tol.

“Usaha ini adalah langkah awal yang diambil oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pihak terbabit untuk memastikan keberkesanan sistem yang efisien selain menyelesaikan segala isu yang mungkin timbul sebelum pelaksanaan sepenuhnya MLFF kelak.

“Perkara ini amat saya tekankan bagi memastikan pengguna tidak mengalami sebarang kesukaran ketika pelaksanaan sepenuhnya MLFF tidak lama lagi,” katanya.

#PerakKini #SistemPembayaranTerbuka #lebuhraya #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *