Apa motif tabur paku atas jalan raya?

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis sedang giat menjejaki pemilik kereta jenis Nissan Almera bernombor plat AJK 869 bagi membantu siasatan berhubung kejadian menabur paku di Jalan Ipoh – Lumut dekat Pusing, Batu Gajah yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada pengguna yang tayar keretanya bocor selepas melalui jalan tersebut.
“Berikutan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ramlah Abdullah di talian 016-767 6287 atau Bilik Gerakan IPD Batu Gajah di talian 05-365 4322 atau 05-362 9050 bagi membantu siasatan.
Semalam, tular di media sosial video berdurasi 24 saat menunjukkan pemandu kereta Nissan Almera bertindak membuang paku di atas jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh – Lumut dekat Pusing.
#PerakKini #PDRM #taburpaku #atas #jalan #tular #RBZ
