Lelaki panik lari lintang pukang lepas nampak polis

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Gara-gara panik, seorang lelaki bertindak melarikan diri apabila melihat kehadiran polis yang bertugas dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Jelapang, awal pagi Ahad lalu.

Gelagat lelaki itu tular di dalam video berdurasi 38 saat yang dimuat naik pengguna Twitter @Nanmanjoi8715 memaparkan kejadian individu terbabit dikejar anggota polis sehingga menarik perhatian pengguna media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata ketika kejadian sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang menjalankan Operasi Samseng Jalanan di lokasi selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti lumba haram di Jalan Jelapang, di sini pada jam 3 pagi, 2 April lalu.

“Siasatan polis mendapati, individu yang melarikan diri itu adalah orang awam yang panik dengan kehadiran polis secara mengejut dalam operasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata sepanjang operasi berlangsung, polis mengeluarkan 49 saman trafik atas pelbagai kesalahan kepada pengguna-pengguna jalan raya terbabit.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan di seluruh bandar raya Ipoh untuk membanteras aktiviti lumba haram yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

#PerakKini #PDRM #individu #panik #lari #operasi #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *