PRIM Perak agih 7,000 nasi beriani percuma untuk berbuka puasa
IPOH – Suasana di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri Perak kelihatan meriah dengan kehadiran orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan nasi beriani percuma pada hari ini.
Program pengagihan nasi bungkus itu bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk di sekitar Ipoh, bahkan sudah memasuki tahun kelapan dilaksanakan pada setiap bulan Ramadan.
Inisiatif Persatuan India Muslim (PRIM) Perak bersama Masjid Negeri Perak ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang turut menyumbang bagi menjayakan aktiviti tahunan itu.
Pengerusi PRIM Perak, Mohamed Arib Aliah berkata pada tahun ini sebanyak 7,000 bungkus nasi beriani bersama lauk ayam masak merah dan dalca diedarkan kepada orang ramai.
Menurutnya, pihaknya mendapat bantuan dua restoran nasi kandar terkemuka di Ipoh dan dua pengusaha katering untuk memasak makanan itu dan prosesnya berjalan dengan lancar.
“Segala-galanya berjalan dengan lancar, bermula dari proses memasak sehingga ke peringkat pengedaran nasi bungkus kepada orang ramai.
“Alhamdulillah pada tahun ini kita telah agihkan nasi beriani bersama Masjid Negeri masuk tahun keempat.
“Sebelum itu, kami edarkan di Masjid India. tetapi kawasan kurang sesuai dan bimbang kesesakan trafik, sebab itu kami pindah lokasi ke Masjid Negeri.
“Sedekah ini (nasi beriani) untuk semua golongan, tidak kira siapa sahaja. Setiap seorang akan dapat seorang sebungkus bagi membolehkan semua dapat merasa juadah berbuka puasa secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu program pemberian nasi beriani secara percuma di perkarangan Masjid Negeri Perak di sini, pada petang Selasa.
Mohamed Arib berkata aktiviti tahunan ini akan diteruskan dan berharap terus mendapat sokongan semua pihak pada tahun akan datang.
#PerakKini #PRIM #MasjidNegeriPerak #nasiberiani #percuma #RBZ