Mahkamah benar Rafizi dapat dokumen gaji bekas CEO Sapura Energy

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, untuk mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Haron memerintahkan syarikat itu mengemuka dokumen yang diminta Rafizi dalam tempoh sebulan dari hari ini.

Peguam Ahli Parlimen Pandan itu, Navpreet Singh, ketika mengesahkan perkara itu selepas sesi pengurusan kes hari ini berkata, permohonan itu dibenarkan kerana itu berkaitan kes fitnah yang difailkan oleh Shahril terhadap defendan (Rafizi).

“Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 15 Mei, iaitu untuk mengemas kini mahkamah berkenaan dengan pematuhan syarikat terhadap keputusan mahkamah untuk mengemuka dokumen tersebut,” kata Navpreet.

Pada 24 November tahun lalu, Rafizi memfailkan permohonan itu dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lalu.

Dalam permohonan itu, Rafizi memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.

Shahril memfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei tahun lalu, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya di antara 31 Mac hingga 4 April tahun lalu.

Artikel tersebut sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *