Bongkar makmal haram, polis rampas dadah lebih RM5.5 juta

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis berjaya membongkar makmal haram yang menjalankan kegiatan memproses dan membungkus dadah serta merampas 79.506 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM5.5 juta dalam dua serbuan di Pantai Remis, Manjung, Sabtu lalu.
Selain itu, polis turut menyita tiga buah kenderaan jenis Ford Mustang, Toyota Vellfire, Mitsubishi Triton serta seutas rantai dan sebentuk cincin yang dianggarkan berjumlah RM763,693.
Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di Perak yang boleh digunakan kira-kira 258,214 orang penagih dadah.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam kejadian 1 April lalu kira-kira jam 7 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah yang dipercayai tempat pemprosesan dan pembungkusan dadah jenis pil Ecstasy di kawasan Pantai Remis, Manjung.
Menurutnya, melalui serbuan itu, pihaknya berjaya seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warganegara Vietnam dipercayai pekerja yang berumur dalam lingkungan 32 hingga 39 tahun serta merampas 245 biji pil Ecstacy seberat 100 gram (gm) dan 1,227 gm serbuk disyaki jenis Ecstacy dianggarkan berjumlah RM 95,043.40.
“Susulan penahanan keempat-empat individu itu membawa ke sebuah lagi rumah yang terletak di Panchor, Pantai Remis yang turut dijadikan makmal pemprosesan dadah.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menemui pil Ecstasy sebanyak (11,838) biji atau anggaran berat 5,592 gram; serbuk disyaki dadah jenis Ecstasy anggaran berat 38,326 gram; cecair disyaki Ecstasy anggaran berat 31,311 gram; daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja 2,056 gm; ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine 844 gm dan heroin anggaran berat 162 gm.
“Turut dirampas ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses serta membungkus dadah,” katanya sewaktu sidang media yang diadakan di IPK Perak pada Selasa.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah lebih RM6,288,716, iaitu yang terbesar tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata melalui saringan ujian air kecil yang dijalankan, kesemua suspek didapati positif dadah jenis dadah jenis Amphethamine.
“Semakan juga mendapati suspek lelaki tempatan mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau manakala ketiga-tiga wanita warganegara Vietnam setakat ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama seminggu mulai semalam bagi membantu siasatan.
