EV : CASUARINA , TNB PERKUKUHKAN INFRASTUKTUR PENGECAS

IPOH – Casuarina Meru Sdn Bhd (CMSB) , anak syarikat milik Perak Corporation Berhad dibawah naungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak ( PKNPk ) memacu kerjasama bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kerjasama ini dimeterai menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Poin Pengecas Kenderaan Elektrik ( EVCS ) bagi pemasangan fasiliti pengecas kenderaan elektrik ( EV ) di Hotel Casuarina @ Meru.
Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bertempat di Casuarina Convention Centre pada Jumaat.
Turut mengiringi beliau Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corporation Berhad, Rosmin Mohamed, Pengerusi CMSB, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin serta Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru, Sabrina Ahmad Tah.
Mohd Azhar berkata, menerusi perjanjian ini, TNB akan memasang 1 unit pengecas pantas DC 120kW dengan muncung berkembar (CCS2) dan 2 unit pengecas AC 22kW di perkarangan hotel.
“Inisiatif ini bukan sekadar mempertingkatkan kualiti, malah mencerminkan komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar serta pelaksanaan inisiatif ini turut memperkukuh kedudukan hotel sebagai destinasi pilihan berteraskan kelestarian.
“Dengan fasiliti pengecas terpantas dalam kalangan semua hotel di Ipoh ianya sekali gus menyumbang kepada usaha menjadikan Negeri Perak sebagai peneraju pelancongan hijau yang progresif dan berwawasan,” ujar beliau.
Majlis turut diserikan sesi lawatan dif-dif kehormat ke zon pengecas EV hotel untuk menyaksikan demonstrasi langsung pengecasan menggunakan model Proton e.Mas, keluaran nasional.
Sehingga kini, Perak berjaya membangunkan 149 petak pengecas EV di 56 lokasi stratergik bersamaan hampir 30% daripada sasaran 500 pengecas menjelang 2025.
Kemudahan ini dijangka siap dan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2025 dibawah jenama Elektron milik TNB dan pelaksanaan projek ini akan menyumbang kepada sasaran negara untuk menempatkan 10,000 pengecas EV menjelang tahun 2025.




