Kedai Emas Safura lancar Tabung Sayang-Sayang Safura, beri 600 ekor ayam percuma
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kedai Emas Safura di Kampung Gunung Rapat di sini hari ini melancarkan program Tabung Sayang-Sayang Safura bagi membantu dan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Pemilik kedai emas tersebut, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata matlamat utama tabung ini diwujudkan adalah untuk mengajak masyarakat menyalurkan bantuan kepada rumah anak yatim, rumah warga emas, pelajar tahfiz dan orang kurang berkemampuan.
Menurutnya, bagi setiap pembelian barang kemas dari kedai berkenaan sebanyak RM5 akan disalurkan ke dalam tabung tersebut.
“Tabung bantuan ini kita adakan setiap tahun. Jadi, pada program ini kita uar-uarkan kepada orang ramai supaya lebih banyak lagi sumbangan yang dapat diberikan.
“Sebenarnya saya sendiri melihat ramai sebenarnya yang sakit, strok, perlu lampin pakai buang, jadi kalau kami sahaja yang hendak memberikan bantuan kepada semua mungkin tidak mampu.
“Tetapi bila kita mewujudkan tabung ini, secara tidak langsung kita mengajak semua orang untuk infak tanpa mengenakan cas tersembunyi kepada pelanggan.
“Keuntungan yang diperolehi melalui jualan kita ambil dan salurkan ke dalam tabung bantuan tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Tabung Sayang-Sayang Safura yang disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak Salbiah Mohamed di Kedai Emas Safura pada Ahad.
Pada pelancaran itu, sebanyak 600 ekor ayam turut diagihkan secara percuma kepada orang ramai.
Dalam perkembangan berkaitan, Bibi Safura turut memaklumkan pihaknya juga telah melancarkan Skuad Sayang Safura yang akan melakukan kerja-kerja amal di rumah warga emas dan rumah anak yatim.
Tahun lalu, Kedai Emas Safura telah melancarkan program Tabung Belanja Dapur Safura Asnaf dan Ibu Tunggal sempena menyambut bulan Ramadan bagi membantu 100 keluarga terdiri daripada golongan asnaf serta ibu tunggal yang benar-benar memerlukan di sekitar Ipoh.
#PerakKini #KedaiEmasSafura #tabung #bantuan #ayam #percuma #Ipoh #Perak