Kejut sahur sambil berselawat diiringi paluan rebana

rbt

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Klebang Putra 1 mengambil inisiatif sempena Ramadan ini mengadakan aktiviti kejut sahur dengan berarak mengelilingi taman perumahan sambil berselawat serta diiringi paluan rebana sebagai ‘penggera’ kepada penduduk untuk mengejutkan mereka bangun bersahur.

Kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas mula berkumpul sebagai persediaan untuk berarak di sekitar taman perumahan tersebut.

Ada yang berjalan kaki dan ada juga yang menaiki motosikal berarak di sekeliling taman.

Salah seorang penduduk, Muhammad Adam Chuwa Abdullah, 54, berasa teruja kerana dia menyertai aktiviti tersebut buat pertama kali selepas 10 tahun memeluk agama Islam.

“Saya bersyukur kerana dapat menyertai acara unik ini bersama-sama penduduk setempat. Aktiviti ini juga adalah sesuatu yang baharu bagi saya selepas memeluk agama Islam.

“Sebelum ini, memang saya tahu mengenai tradisi kejut sahur. Tapi, ini adalah kali pertama saya merasai sendiri pengalaman kejut sahur bersama masyarakat di sini,” katanya yang turut membawa dua orang anaknya bersama-sama menyertai aktiviti tersebut.

Pengerusi KRT Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly, 36, berkata aktiviti kejut sahur ini diadakan bagi mengembalikan tradisi yang pada satu masa dahulu selalu diadakan di kampung-kampung pada bulan Ramadan.

Menurutnya, program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara penduduk setempat.

“KRT di kawasan ini sentiasa aktif mengadakan pelbagai program dan melalui perbincangan yang dijalankan, kami bersepakat untuk mengadakan beberapa aktiviti bagi memeriahkan sambutan Ramadan bersama penduduk.

“Jadi, kami membawa aktiviti kejut sahur ini ke bandar bagi menghidupkan semula tradisi yang pernah diadakan di kampung.

“Program ini secara tidak langsung menarik minat masyarakat setempat untuk bersama-sama menyertainya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Azrul Azly berkata golongan kanak-kanak dan remaja yang menyertai aktiviti ini dilihat dapat mendidik mereka supaya warisan budaya tersebut terus kekal terpelihara dan tidak ditelan zaman.

“Anak-anak pada zaman sekarang hidup di era digital dan gajet. Justeru, aktiviti kejut sahur ini bukan sahaja melatih mereka untuk bangun sahur, ia turut mendedahkan mereka untuk lebih mengenali budaya supaya tidak luput ditelan zaman,” jelasnya.

#PerakKini #KRTTamanKlebangPutra1 #kejutsahur #Ramadan #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *