Kekurangan jadi kelebihan, pelajar PPKI Nur Asliza menang emas di sukan dunia Berlin
rhdr
Oleh Rosdalilah Zahari
PELAJAR Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh, Ipoh, Nur Asliza Mohd Sapri, 18, mencipta sejarah apabila berjaya merangkul pingat emas melalui acara lontar peluru pada Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 di Berlin, Jerman bulan lalu.
Anak kedua daripada lapan beradik itu baru pertama kali menyertai kejohanan dunia dan tidak menyangka tuah menyebelahinya.
Tidak lokek dengan senyuman, Nur Asliza ketika ditemui di kediamannya di Taman Taiping, pada Jumaat meluahkan rasa gembira dan syukur di atas kejayaan yang diperoleh.
Menurutnya, keluarga dan jurulatih sentiasa menjadi pendorong supaya mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sukan yang diceburi.
“Saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa, jurulatih dan guru-guru yang menjadi pembakar semangat untuk terus berlatih bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan,” kata anak kepada pasangan Mohd Sapri Abdul Hamid, 49, dan Asmah Ismail, 47.
Nur Asliza yang mengalami masalah pembelajaran turut berhasrat untuk menjalani latihan hingga ke luar negara supaya dapat terus mengembangkan bakat sukannya di peringkat antarabangsa.
“Kalau dapat latihan di luar negara saya memang akan terima. Saya nak sertai lebih banyak kejohanan dunia dan harumkan nama Malaysia,” ujarnya.
Selain lontar peluru, Nur Asliza juga mesra disapa Kak Ngah turut bergiat aktif dalam sukan lempar cakera, merejam lembing dan acara lari 4×100 meter.
Kejayaan yang diperolehi anak jati Perak itu sebelum merangkul emas di Berlin adalah pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Kebangsaan di Stadium Bukit Jalil, tahun lalu.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika mengunjungi Nur Asliza memaklumkan akan cuba mendapatkan rumah yang lebih selesa untuk keluarga atlet itu diami.
Menurutnya, akan bantuan diusahakan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang membolehkan keluarga terbabit tinggal lebih selesa dengan kadar sewaan yang agak rendah sekitar RM124 sebulan berbanding rumah sewa sekarang RM700.
“Saya difahamkan rumah yang dihuni agak tinggi kos sewaan mungkin dengan adanya bantuan ataupun saluran yang diperuntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pejabat Daerah Kinta, dapat meringankan beban keluarga ini.
“Apa yang penting, keluarga ini dapat kehidupan lebih baik daripada sekarang,” katanya.
Khairudin berharap kejayaan Nur Asliza menjadi inspirasi kepada pelajar lain terutama berkeperluan khas.
“Kejayaan ini adalah satu inspirasi khususnya kepada masyarakat atau ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas.
“Ini membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing, mampu berjaya memperolehi kejayaan cemerlang kalau ada daya usaha, komitmen daripada semua pihak bagi memastikan anak-anak ini mampu menonjolkan bakat dalam bidang-bidang tertentu,” jelasnya.
#PerakKini #NurAslizaMohdSapri #pingatemas #lontarpeluru #PPKI #RBZ