Jaguh muay thai Malaysia, Thailand berentap pada 26 Ogos ini

hdrpl

SERAMAI 10 atlet muay thai dari Malaysia dan Thailand akan berentap pada Kejohanan Muay Thai Bandaraya Ipoh – Betong yang akan berlangsung jam 8.30 malam di Akademi Muay Thai Headhunters Ipoh pada 26 Ogos ini.

Kejohanan itu akan mempertaruhkan lima atlet muay thai iaitu Muhammad Rifdean Masdor, Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli, Raja Izzati Raja Annuar, Nur Amisha Azrilzal dan Muhammad Amirul Adli Sale’ Meha yang berada di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai Kebangsaan, Benard Radin.

Lima atlet muay thai Malaysia bakal berentap dengan atlet Thailand dalam kejohanan yang akan berlangsung pada 26 Ogos ini.

Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan mengikut berat iaitu 57 kilogram (kg), 54kg dan 51kg bagi lelaki manakala 51kg dan 48kg bagi wanita.

Penaung Persatuan Muay Thai Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kejohanan itu julung kali diadakan sempena Tahun Melawat Ipoh.

Menurutnya, kejohanan berskala besar seperti itu sudah lama tidak diadakan di Perak dan kali terakhir ia berlangsung pada tahun 2016.

“Pada kali ini, kita mempertaruhkan juara dunia dan atlet kebangsaan yang pasti akan menarik peminat sukan muay thai untuk hadir menonton kejohanan itu,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media di Akademi Muay Thai Headhunters Ipoh di sini, semalam.

Zainol Fadzi berkata orang ramai yang ingin menyaksikan pertarungan terhebat ini boleh mendapatkan tiket yang dijual secara fizikal berharga RM25 bermula 14 Ogos ini.

#PerakKini #MuayThai #Ipoh #Betong #Malaysia #Thailand #26Ogos2023 #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *