Keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak tidak menurun sebaliknya meningkat – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Negeri Perak menafikan berlaku trend penurunan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Perak sepertimana yang dinyatakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) sehingga 50 peratus di Perak.
Menurutnya, mengikut Data TRM Negeri Perak yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak mencatatkan terdapat tanah seluas 953,075.79 hektar pada tahun 2022.
“Daripada jumlah data keluasan TRM Negeri Perak yang dikumpul sejak 1947, ia menunjukkan trend peningkatan, jadi saya tak pasti bagaimana dalam jawapan itu mengatakan berlaku proses penurunan sebab kita kita dari semasa ke semasa dalam mesyuarat Exco sentiasa meluluskan keluasan tertentu untuk menambah bilangan tanah rizab Melayu ini.
“Bagaimanapun, jika terdapat keluasan tanah-tanah tertentu yang terpaksa dibatalkan status rizab Melayu oleh kerana pembangunan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Jika kita nak batalkan oleh kerana pembangunan yang diperlukan contoh untuk bina hospital, sekolah atau buat jalan harga tanah seluas yang sama atau lebih akan diwartakan semula sebagai TRM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengedarkan bubur lambuk di kawasan Flat Jalan Ashby, di sini pada Khamis.
Saarani berkata pada masa ini PTG Perak dalam proses untuk mewartakan kawasan seluas 996.04 hektar untuk TRM.
“Jika siap sukat dan sebagainya maka tanah ini akan diluluskan dalam mesyuarat Exco dan kita berikan hak milik kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Ini kerana ada kawasan-kawasan yang diberikan kepada MAIPk maka kita yakin tidak berlaku penurunan tetapi dari semasa ke semasa akan berlaku peningkatan,” katanya.
Semalam Nik Nazmi memaklumkan keluasan TRM di Perak menurun daripada 953,042.67 hektar kepada 953,040.87 hektar tahun lalu.
Penurunan itu turut berlaku di Kedah dan Kuala Lumpur.
#PerakKini #tanahrizabMelayu #Perak #meningkat #MenteriBesar #Saarani #RBZ
