Kes lemas kanak-kanak 4 tahun, guru besar taska akan dituduh di mahkamah esok

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang wanita berusia 58 tahun yang juga guru besar sebuah taska di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, di sini, akan dituduh di Mahkamah Majistret esok susulan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pada 18 April lalu, satu laporan polis diterima berhubung kejadian mati lemas seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun di kolam sebuah taska di Bandar Baru Sri Klebang.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan satu laporan mati mengejut (SDR) turut dibuka bagi menyiasat kematian kanak-kanak tersebut.

“Kes ini disiasat secara teliti dan arahan pertuduhan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya terhadap individu yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut  pada hari ini.

“Individu terbabit akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, esok,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahaya berkata pihaknya turut mengesan satu video berdurasi 30 saat yang dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Sathruhan Manian’ menuduh polis tidak menjalankan siasatan telus berkaitan insiden tersebut.

“Pihak polis memandang serius terhadap dakwaan tidak berasas dan penyebaran maklumat palsu melalui media sosial oleh pemilik akaun Facebook tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan peranti komputer dan platform media sosial untuk membuat dakwaan tidak berasas terhadap pihak berkuasa sehingga menganggu siasatan dan menjejaskan kredibiliti,” katanya.

Pada 23 April lalu, media melaporkan, kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia selepas dirawat selama tujuh hari di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Semalam, tular video di TikTok, ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit yang itu berjalan kaki dengan berkaki ayam dari taska terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi menuntut keadilan atas kematian anak mereka.

#PerakKini #PDRM #tular #mati #lemas #taska #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *