KKM hargai doktor kontrak tidak sertai mogok – Dr Zaliha

Oleh Rosdalilah Zahari

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan penghargaan kepada doktor kontrak kerana tidak menyertai mogok pada 3 hingga 5 April lalu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan itu dilihat lebih bersifat ancaman dan provokatif serta mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keselamatan dan nyawa rakyat.

“Hebahan mengenainya yang telah ditularkan di laman sosial pada 3 hingga 5 April 2023 dan dijangka melibatkan 8,000 ke 12,000 doktor kontrak telah gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti yang dirancang oleh penganjur.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan sekaligus menolak anjuran untuk mogok dalam kalangan doktor baru-baru ini,” katanya dalam satay kenyataan media pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Zaliha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi KKM, Pengarah-pengarah Kesihatan Negeri dan hospital, serta ketua perkhidmatan dalam kesiapsiagaan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan tempoh hari.

“Sehubungan itu, saya ingin menekankan bahawa mogok bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani setiap permasalahan yang timbul, sebaliknya perkara tersebut perlu ditangani secara lebih berhemah dan profesional menerusi platform yang betul,” ujarnya.

Sebelum ini, terdapat kakitangan doktor kontrak yang merancang melakukan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula Isnin hingga Rabu susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatannya.

#PerakKini #KKM #DrKontrak #mogok #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *