Koleksi edisi terhad The Malaysia dUCk & dUCk Cafe @ Pekan Lama Ipoh dibuka sempena Bulan Kebangsaan

Pengasas bersama The dUCk Group, Datin Vivy Yusof menunjukkan koleksi edisi terhad tudung The Malaysia dUCk sewaktu pembukaan dUCk Cafe @ Pekan Lama Ipoh pada Sabtu.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – The dUCk Group yang tidak asing lagi dalam dunia hijab di negara ini tampil dengan koleksi edisi terhad The Malaysia dUCk serta pembukaan dUCk Cafe @ Pekan Lama yang berkonsepkan kopitiam bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Tudung edisi terhad tersebut boleh didapati di kafe berkenaan termasuk ‘merchandise’ lain seperti cawan, pelapik pinggan, sarung kusyen dan apron yang turut bermotifkan The Malaysia dUCk.
Pengasas bersama The dUCk Group, Datin Vivy Yusof berkata rekaan koleksi terbaharu tudung itu mengambil masa 660 jam untuk disiapkan dan didatangkan dalam enam jenis warna mengikut warna-warna minuman kegemaran rakyat Malaysia.
“Koleksi tudung pada kali ini menampilkan corak bermotifkan warisan negara antaranya Jalur Gemilang, bangunan bersejarah dan ikonik, Bangunan Sultan Abdul Samad selain elemen rumah dan permainan tradisional serta pokok kelapa dan pisang.
“Enam warna tudung ini kopi putih, kopi O, kopi cham, teh tarik, Neslo (Nescafe dan Milo) dan barli.
“Koleksi tudung yang berharga RM350 itu mempamerkan keharmonian dan jalinan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena pembukaan dUCk Cafe @ Pekan Lama di Jalan Sultan Yussof pada Sabtu.
Sementara itu, Vivy berkata berhubung kafe tersebut akan dibuka selama sebulan mulai hari ini sehingga 17 September depan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pekan Lama Cafe yang sudi berkolaborasi bagi menjayakan projek ini,” katanya.
Vivy berkata pengunjung yang ingin menikmati makanan dan minuman tradisi seperti teh tarik, roti bakar, bahulu dan lempeng kelapa boleh singgah ke kafe berkenaan.
Berhubung pemilihan Ipoh sebagai lokasi pembukaan kafe tersebut, Vivy berkata negeri Perak amat dekat di hatinya kerana nenek sebelah ibunya berasal dari Kampung Kepayang, Simpang Pulai.
“Saya menerima maklum balas yang sangat positif daripada pengunjung dan InsyaALLAH jika ada rezeki kita membuka butik fizikal di Ipoh khususnya untuk peminat-peminat ‘duCkies’,” katanya.
#PerakKini #TheDuckGroup #Duckies #kafe #kopitiam #RBZ
