KPDN terima 99 aduan harga makanan di bazar Ramadan termasuk gerai nasi ayam berempah RM15

Bazar Ramadan Rahmah di People's Park, Ipoh.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menerima 99 aduan berhubung harga makanan di bazar Ramadan termasuk kes tular nasi ayam berempah RM15 sebungkus yang dijual di sebuah bazar Ramadan di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya tidak menerima aduan berhubung harga melampau makanan di bazar Ramadan kecuali satu kes membabitkan nasi ayam berempah yang dijual pada harga RM15.

“Pegawai penguat kuasa kementerian sudah memeriksa gerai tersebut dan ia sudah pun ditutup

“Kalau satu nasi dengan ayam atau sayur paling tinggi RM8 hingga RM9, tapi kalau sampai RM15, itu dianggap tidak berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan Rahmah Presint 14, Putrajaya petang Isnin. Sabtu lalu, tular di media sosial mengenai pembeli kecewa apabila membeli nasi ayam berempah yang tidak sepadan dengan harga RM15 sebungkus di sebuah bazar Ramadan di Selangor.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan terdapat 38 lokasi melaksanakan BRR di seluruh negara.

“BBR adalah inisiatif terbaru kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga berpatutan termasuk menggalakkan peniaga menyediakan kepelbagaian konsep makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu Rahmah kepada pengunjung.

“Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa sebarang implikasi kos kepada kerajaan,” katanya.

Tambahnya, antara lokasi yang menawarkan BRR termasuklah Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang; Bazar Ramadan People’s Park, Ipoh, Perak dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang, Terengganu.

#PerakKini #KPDN #aduan #hargamakanan #tinggi #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *