Murid tahun tiga trauma selepas ditimpa tangki pam tandas

Nor Azizawati (kanan) menunjukkan kecederaan di kepala yang dialami Nur Alisha Adawiyah selepas terbabit dalam kejadian ditimpa tangki pam tandas di SK Perpaduan, Selasa lalu.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – “Saya takut nak ke tandas selepas kejadian itu,” kata Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9.

Nur Alisha Adawiyah adalah murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan yang cedera selepas ditimpa tangki pam tandas diperbuat daripada seramik yang tercabut dalam insiden Selasa lalu.

Anak keempat daripada lima adik beradik itu berkata dia ke tandas bersama rakannya kira-kira jam 4 petang sebelum insiden tersebut berlaku.

“Masa saya tarik pam tandas, tiba-tiba penutup tangki pam tandas terjatuh dulu sebelum keseluruhan pam jatuh dan terkena bahagian kiri kepala saya.

“Akibat terkejut saya menangis dan saya bersama rakan terus memaklumkan kejadian tersebut kepada guru,” katanya ketika ditemui di SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

Ibu mangsa, Nor Azizawati Ismail, 37, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan pihak sekolah mengenai kejadian tersebut.

“Saya bawa anak ke hospital (Hospital Raja Permaisuri Bainun) dan menjalani imbasan sinar-X. Alhamdulillah, doktor beritahu anak saya hanya mengalami kecederaan ringan,”, katanya.

Nor Azizawati juga membuat laporan di Balai Polis Tambun pada jam 7 malam Khamis lalu berhubung insiden tersebut.

      Muhamad Arafat (kiri) menyampaikan          sumbangan kepada Nur Alisha Adawiyah          (tengah) di SK Perpaduan pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata beliau sudah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil tindakan seterusnya bagi menambah baik tandas yang rosak.

“Saya dimaklumkan kos pembinaan tandas itu membabitkan kos RM200,000 untuk 35 unit tandas dan ia baru dibina pada tahun lalu.

“Buat masa sekarang, semua tandas murid ditutup bagi membolehkan JKR menjalankan pemeriksaan sama ada tandas sedia ada selamat digunakan atau perlu ditambah baik.

“Murid-murid di sekolah ini akan menggunakan tandas guru untuk sementara waktu,” jelasnya.

Katanya, murid terbabit akan diberikan beberapa bantuan termasuk sesi kaunseling.

Terdahulu, Muhamad Arafat melawat keadaan tandas sekolah tersebut serta menyerahkan sumbangan kepada Nur Alisha Adawiyah.

Sumbangan tersebut adalah daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun.

#PerakKini #murid #cedera #ditimpa #pamtandas #ADUNHuluKinta #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *