Pencarum KWSP boleh memohon pinjam bank mulai 7 April

Oleh Rosdalilah Zahari
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pencarum berusia 40 dan ke atas layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula 7 April ini dengan syarat mempunyai baki sekurang-kurangnya RM3,000 dalam Akaun 2.
Menurutnya, ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh mengemukakan permohonan melalui dua bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Katanya, FSA2 akan dijalankan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian manakala tarikh mula untuk Fasa 2 bagi ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4 peratus hingga 5 peratus lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8 peratus hingga 15 peratus.
“Melalui kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.
“Jumlah pembiayaan maksimum sudah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai FSA2 ahli boleh merujuk di laman www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.
#PerakKini #KWSP #FSA2 #Fasa1 #MBSB #BSN #RBZ
