Penduduk Ipoh disaran kitar semula minyak masak terpakai, jana ‘duit poket’ tambahan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Penduduk di sekitar bandar raya Ipoh disaran untuk mengitar semula minyak masak terpakai kerana ia boleh membantu menjana ‘duit poket’ tambahan serta menggalakkan pemasangan perangkap minyak di rumah masing-masing.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata aktiviti kitar semula minyak masak terpakai ini turut memberi manfaat terhadap penjagaan alam sekitar.

Menurutnya, untuk pemasangan perangkap minyak, setakat ini penguatkuasaan undang-undang hanya dilaksanakan di premis menjual makanan sahaja.

“Buat permulaan, untuk kediaman kita masih di peringkat mendidik masyarakat supaya tidak membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang.

“Di samping itu, penjualan minyak masak terpakai yang dikumpul boleh mendatangkan hasil dengan menjualnya kepada syarikat kutipan minyak masak terpakai yang berlesen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Medan Selera Dato’, Sagor, pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini sejumlah 53 metrik tan minyak masak terpakai berjaya dikumpul daripada 1,400 premis sekitar bandar raya Ipoh melalui kempen kitar semula yang dilaksanakan sejak Mac lalu.

Katanya, minyak terkumpul itu termasuk ‘Bazar Ramadhan Mesra Alam’ yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang memperkenalkan aktiviti kutipan semula minyak masak terpakai di semua 22 lokasi tapak Bazar Ramadan untuk dijadikan biofuel.

Katanya, perkara itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik MBI iaitu syarikat Biovisma Sdn Bhd dan syarikat Tuck Soon Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata jumlah kutipan minyak masak terpakai oleh kedua syarikat ini adalah sebanyak 1,601 kilogram (kg) dengan nilai RM4,482.

“Aktiviti ini dirancang untuk dikembangkan kepada semua pemilik premis restoran, kafe, peniaga pasar malam dan semua gerai-gerai milik majlis di sekitar MBI.

“Sebanyak 2,926 premis makanan dan kafe mematuhi syarat pemasangan perangkap minyak dan hasil pemeriksaan mendapati pengurusan minyak masak terpakai dan kaedah pemasangan, pembersihan dan penyenggaraan perangkap minyak masih tidak sempurna dalam kalangan setengah premis makanan di kawasan MBI.

“Perkara ini menjadi punca kepada kacau ganggu bau dan masalah longkang tersumbat,banjir kilat di setengah lokasi serta menyukarkan aktiviti pembersihan oleh kontraktor majlis,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga 30 Jun sebanyak 525 premis diperiksa untuk pematuhan syarat perangkap minyak dan sebanyak 43 kompaun bernilai RM10,600 dikeluarkan ke atas premis yang gagal mematuhi syarat pemasangan perangkap minyak.

“Sebanyak 260 notis dan surat amaran berkaitan pemasangan, pembersihan dan penyelengaraan perangkap minyak dikeluarkan kepada pemilik premis makanan,” ujarnya.

#PerakKini #MBI #kitarsemula #minyak #perangkapminyak #premis #restoran #kafe #kediaman #Ipoh

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *