Peniaga bazar Ramadan diingatkan jangan jual makanan harga ‘kayangan’

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Peniaga bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini diingatkan supaya tidak menjual makanan dan minuman harga ‘kayangan’ namun kualitinya tidak setimpal dengan harga ditawarkan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud juga turut mengingatkan peniaga supaya sentiasa menjaga kualiti makanan dan minuman yang dijual kepada orang ramai agar sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan.
Menurutnya, jika Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendapat aduan rasmi berhubung isu harga atau kualiti makanan yang kurang memuaskan perkara itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, kita belum menerima aduan rasmi berhubung isu harga atau kualiti makanan daripada orang awam.
“Bagaimanapun, kita ada lihat orang ramai membuat aduan di media sosial mendakwa kualiti Menu Rahmah tetapi harga kayangan.
“Perkara itu (jual makanan pada harga tinggi namun kualiti makanan tidak setanding dengan harga) ada berlaku di bazar Ramadan sekitar bandar raya Ipoh.
“Kalau ada aduan rasmi kita serah pada KPDN untuk ambil tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran MBI, M Roof Hotel, Pasar Raya Econsave, Navira Meditech dan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) malam tadi.
Sementara itu, Rumaizi turut menasihatkan pengunjung bazar Ramadan untuk mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan keadaan di sesetengah bazar dilihat agak sesak memandangkan tiada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti sebelum ini.
#PerakKini #MBI #KPDN #aduan #bazarRamadan #hargakayangan #RBZ
