Perak akan tambah baik, pulihara mural pudar, terjejas

hdrpl

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Ramai sedia maklum, Mural Art’s Lane yang terletak di antara Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Masjid di sini adalah salah satu lokasi tarikan pelancong jika berkunjung ke bandar raya ini.

Tinjauan Perak Kini mendapati sebahagian daripada mural yang dilukis hampir sembilan tahun lalu sudah kelihatan pudar malah cat juga sudah terkopek membuatkan ia kelihatan kurang menarik untuk tatapan pelancong.

Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri bercadang untuk mengambil langkah menambahbaik serta memulihara mural yang terkesan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata bagaimanapun usaha itu perlu membabitkan ramai pihak antaranya termasuklah kerajaan, swasta dan perseorangan.

“Mural sedia ada adalah hasil kerjasama kerajaan negeri, agensi, termasuk inisiatif pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Memang benar tahun ini merupakan Tahun Melawat Ipoh dan tahun depan pula Tahun Melawat Perak, jadi kita mahu pastikan di kawasan tarikan pelancong ini tak ada berlaku isu kurang menarik dan mural yang sudah pudar.

“Jadi, kita akan melihat balik mana (mural) yang ada keperluan namun kita kena lihat semula lokasi mural itu sama ada diuruskan oleh NGO, swasta atau kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu mural yang sebelum ini menjadi tarikan pengunjung tetapi kini semakin tidak terjaga dan pudar semalam.

Dalam pada itu, Sandrea Ng berkata pihaknya turut mengemukakan cadangan permohonan peruntukan untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan sudah banyak PBT mengambil inisiatif mewujudkan mural untuk menarik lebih ramai pelancong singgah ke tempat mereka.

“Jadi kalau boleh dapat sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) khas tentang mural ini untuk bantu ceriakan bandar dan boleh manfaatkannya.

“Sama ada nak wujudkan (mural) yang baharu atau selenggara mural sedia ada, setiap satu mural itu mungkin pelukisnya berlainan, jadi kena semak setiap satu (mural) untuk lihat cara terbaik untuk selesaikan masalah berkenaan,” ujarnya.

#PerakKini #mural #tidakdiselenggara #pudar #TahunMelawatIpoh2023 #TahunMelawatPerak2024 #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *