PM10 menghadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini

Foto: Jabatan Penerangan Negeri Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, pada Jumaat.
Sesi menghadap itu bermula pada jam 10.50 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.

Ini adalah kali pertama Ahli Parlimen Tambun itu pulang sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut dijadualkan mengadakan sesi walkabout untuk bertemu warga Parlimen Tambun di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini.
Kemudian, Perdana Menteri dijangka menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Jati, Meru dan menyertai kenduri rakyat yang diadakan di lokasi sama.
Anwar turun padang dan mengunjungi beberapa kawasan di sekitar Parlimen Tambun bagi menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat yang menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pagi tadi, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dipercayai bagi mempersembahkan senarai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
#PerakKini #PM10 #AhliParlimenTambun #IstanaKinta #SultanPerak #Perak
