Polis beri kelonggaran letak kenderaan tepi jalan HRPB, tiada saman hingga parkir siap Mei ini

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis menangguhkan sementara tindakan menyaman orang ramai yang meletakkan kenderaan di tepi jalan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Klinik Kesihatan (KK) Greentown sehingga kerja naik taraf parkir siap pada pertengahan Mei ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri berkata kelonggaran meletakkan kenderaan itu diberikan kepada orang ramai dengan syarat mereka tidak menghalang lalu lintas sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain serta ambulan yang sering keluar masuk ke hospital tersebut.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya memarkir kenderaan di luar kawasan hospital secara teratur, tidak double parking dan tidak menghalang lalu lintas kepada pengguna jalan raya lain serta ambulan yang keluar masuk ke HRPB.

“Bagaimanapun, jika terdapat halangan, anggota polis yang melakukan rondaan akan mengeluarkan saman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program High Profile Policing Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Perak pada Rabu.

Mohd Yusri berkata Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Negeri Perak, A Sivanesan telah mengadakan pertemuan bersamanya membincangkan isu parkir itu pada Isnin lalu.

Katanya, dalam pertemuan tersebut mereka telah mencapai kata sepakat supaya pihak polis menangguhkan sementara tindakan saman terhadap pengguna ataupun orang ramai yang datang berurusan di hospital.

“Kita memikirkan tentang kepentingan dari segi kebajikan dan keselesaan orang ramai untuk mendapatkan rawatan di HRPB, jadi kita menangguhkan (tindakan saman) sehingga parkir baharu siap dijadualkan Mei ini,” jelasnya.

Sebelum ini Perak Kini melaporkan orang awam yang berurusan di HRPB dan KK Greentown di sini sering berhadapan dengan masalah saman trafik dan saman daripada polis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) jika meletakkan kenderaan di bahu jalan ketika waktu puncak.

Perkara ini menggusarkan orang awam yang tidak mempunyai alternatif lain dan terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan kerana kekangan parkir.

#PerakKini #PDRM #parkir #HRPB #KKGreentown #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *