Polis serbu bangsal dalam hutan jadi makmal proses dadah, rampas dadah lebih RM6 juta
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis Perak membongkar aktiviti memproses dan mengedar dadah selepas menahan lima lelaki bersama dadah jenis methamphetamine bernilai RM6,627,180 dalam serbuan di sebuah bangsal dalam hutan di Chenderiang, Tapah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan kira-kira jam 9.45 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) PERAK dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tapah.
Menurutnya, lima lelaki termasuk dua adik beradik yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu berusia dalam lingkungan 29 ke 33 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
“Hasil serbuan telah berjaya merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 110.453 kilogram (kg).
“Kita turut merampas bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di perkarangan IPK Perak, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata sindiket ini dipercayai mula aktif sejak Jun tahun ini dan dadah yang dihasilkan untuk pasaran di luar Perak.
“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 1,004,530 orang penagih.
“Semakan rekod jenayah lampau ke atas suspek turut mendapati mereka pernah terbabit dalam jenayah pecah rumah secara berkumpulan,” ujarnya.
Katanya, pihaknya turut menyita dua buah kenderaan jenis Honda City dan Mitsubishi Triton, empat utas rantai, satu loket, dua cincin dan sepasang subang yang kesemuanya berwarna keemasan yang bernilai RM161,375.
“Kesemua barangan disita ini turut diambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Perlucuthakan Harta) 1988,” jelasnya.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 27 Ogos hingga 2 September ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya.
#PerakKini #PDRM #dadah #Perak