Projek sambungan jalan utama Meru Raya – Klebang libat kos lebih RM11 juta, termasuk RM4.2 juta proses pengambilan tanah.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Projek sambungan jalan utama Meru Raya – Klebang yang sedang dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama beberapa syarikat pemaju perumahan membabitkan kos lebih RM11 juta, termasuk RM4.2 juta proses pengambilan tanah.

Projek ini dilaksanakan di dalam dua fasa iaitu Fasa 1 membabitkan projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Pari dengan kos RM2.1 juta dan telah siap sepenuhnya pada pada 18 November lalu.

Manakala, Fasa 2 adalah pembinaan jalan yang menyambungkan jalan dari Lebuh Chepor Utama 2 di bahagian Meru Raya dengan Lebuh Klebang Putra di bahagian Klebang yang melibatkan kos berjumlah lebih RM5 juta yang dijangka siap pada Jun 2023.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata projek berkenaan dilaksanakan secara perkongsian bijak antara MBI dan beberapa buah syarikat pemaju perumahan.

Menurutnya, kos pengambilan tanah ditanggung kerajaan negeri manakala kos lain ditanggung pemaju perumahan terbabit.

“Projek tersebut dilaksanakan secara ‘Smart Partnership’ (perkongisan bijak) antara MBI dengan pemaju-pemaju iaitu Ain Bina Development Sdn Bhd, Eadepro Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd melalui Private Fund Investment (PFI) oleh syarikat pemaju.

“Manakala, pihak kerajaan negeri pula akan menanggung kos bagi proses pengambilan balik tanah dengan anggaran sebanyak RM 4.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek sambungan jalan utama Meru Raya – Klebang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata selepas jalan ini siap sepenuhnya ia akan memendekkan masa perjalanan pengguna jalan raya daripada Meru ke Klebang dan merancakkan aktiviti pembangunan perumahan di kawasan sekitar.

“Dalam tempoh 5 tahun, dianggarkan lebih kurang 1,700 buah rumah dan lot komersial akan dibangunkan pemaju.

“Di samping itu, kesesakan di persimpangan pekan Chemor secara tidak langsung akan dapat diatasi,” ujarnya.

#PerakKini #MBI #naiktaraf #jalan #Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *