RAZMAN: TUDUHAN TIDAK BERASAS, TINDAKAN SUDAH DIAMBIL SEJAK MENJAWAT EXCO

IPOH – Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria hari ini menafikan dakwaan beberapa pemimpin kerajaan negeri yang menuduh beliau dan EXCO PAS tidak mengambil sebarang tindakan terhadap isu gangguan awam dan pencemaran berkaitan ternakan babi di Ayer Kuning, Tapah.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil pemuda sebuah parti kerajaan baru-baru ini adalah tidak berasas dan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar, iaitu pencemaran sungai dan bau busuk yang telah lama membelenggu penduduk di Tanjung Keramat.
“Saya dan YB Akmal Kamarudin ketika menjadi EXCO kerajaan negeri telah menyelaraskan pelbagai usaha termasuk menutup 34 ladang babi di seluruh Perak yang gagal mematuhi syarat pelesenan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa lawatannya ke Kampar sebelum ini adalah bertujuan untuk memastikan ladang-ladang babi mematuhi peraturan perlesenan, susulan aduan penduduk mengenai pencemaran udara, bau, dan air.
Menyentuh isu cadangan pemindahan ladang ternakan, beliau berkata perkara tersebut tidak timbul kecuali jika terdapat aduan awam atau pelanggaran syarat lesen oleh pengusaha, sambil menegaskan bahawa latar demografi kawasan juga perlu dipertimbangkan.
Razman juga memaklumkan bahawa beliau pernah mempelopori usaha pindaan Enakmen Perladangan Unggas 2005 yang dibentangkan dan diluluskan pada Sidang Dewan Negeri tahun 2023, bertujuan memperketat kawal selia ladang ternakan.
“Tuduhan kononnya saya tidak mengambil sebarang langkah hanyalah sangkaan buruk pihak yang kini berada dalam kerajaan tetapi masih gagal menunjukkan hasil selepas lebih tiga tahun mentadbir negeri,” tegas beliau.
Dalam kenyataan itu juga, beliau mencabar pemuda Parti Amanah Negara (PAN) dan Menteri Pertanian yang berasal daripada parti itu untuk mengambil tindakan segera terhadap ladang-ladang ternakan tidak berlesen di Tanjung Keramat.
“Kalau benar-benar pandai mentadbir, saya cabar tutup semua ladang yang menimbulkan kacau ganggu dalam masa 48 jam, bukan sekadar pandai bercakap,” tambah beliau.


