Sempat pesan kepada isteri supaya jaga anak-anak sebelum ditemui maut

oznorCO
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang pemborong ikan sempat meninggalkan pesan kepada isterinya supaya menjaga anak-anak mereka beberapa jam sebelum dia ditemui maut di belakang sebuah kilang di Pekeliling Dataran Kledang, Menglembu, di sini pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata polis mendapat panggilan berhubung penemuan mangsa daripada Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada jam 9.46 pagi.
Menurutnya, sejurus selepas itu sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didapati sudah meninggal dunia dengan kesan kelar di leher.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa turut mempunyai kilang dan peniaga pemborong serta pembekal ikan sejak 10 tahun lalu. Mangsa juga sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
“Difahamkan mangsa mempunyai masalah kemurungan kerana menghadapi masalah kewangan dalam perniagaannya.
“Kali terakhir mangsa menghubungi isterinya supaya menjaga anak-anak mereka dengan baik dan menyuruh isterinya untuk mengambil semua wang simpanan di dalam bank bagi kegunaan isteri dan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Azizi berkata pemeriksaan dijalankan ke atas mangsa, pihaknya menemui kesan kelar di leher sepanjang 16 sentimeter yang dipercayai akibat pisau pemotong daging yang ditemukan berhampiran mangsa.
“Tiada kesan jenayah lain yang ditemui pada tubuh mangsa dan barangan peribadi juga masih bersamanya,” ujarnya.
Katanya, sebelum ini mangsa berusia 58 tahun itu pernah melakukan cubaan membunuh diri kira-kira tiga tahun lalu namun tidak berjaya.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #bunuhdiri #Ipoh
