Team Kongsi Rezeki, NGO Tambun edar 2,000 bubur lambuk resipi istimewa campuran daging, udang

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk resipi istimewa campuran daging, udang dan beberapa bahan lain diedar kepada warga Ipoh di The Bojen Car Wash and Spa, Tambun pada Ahad.
Program edaran bubur lambuk ini adalah kerjasama antara Team Kongsi Rezeki iaitu The Bojen Car Wash and Spa, Kedai Emas Rozita dan Azno Catering Sdn Bhd bersama komuniti setempat membabitkan Persatuan Penduduk Desa Tambun, Persatuan Kebajikan Islam Tambun serta Baddad Moto Group yang turut mendapat sokongan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1, Norhayati Sani.
Bubur lambuk istimewa ini adalah resipi turun temurun yang dikongsi Maisarah Md Tahir atau lebih dikenali sebagai Kak Ara.
Sebanyak 35 kilogram beras dan 28 kilogram santan digunakan sebagai bahan utama memasak bubur lambuk itu.
Di samping itu bahan-bahan lain seperti daging cincang, udang, lobak merah, kentang, udang kering serta rempah ratus juga turut dimasukkan ke dalam masakan tersebut.
Pengurus The Bojen Car Wash and Spa, Mohd Salorwadi Mohd Nor yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Tambun ketika ditemui berkata program edaran bubur lambuk ini julung kali diadakan bersama komuniti setempat di Tambun.

Menurutnya, sebanyak empat periuk besar bubur lambuk dimasak bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Bubur lambuk yang siap dipek ini akan diedarkan kepada pengguna jalan raya serta penduduk sekitar Tambun tanpa mengira kaum.
“InsyaALLAH jika ada rezeki, pelbagai program lagi akan diadakan bagi memanfaatkan penduduk setempat.
“Justeru, kami menyeru mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin bersama-sama berkongsi rezeki untuk tampil supaya jalinan kerjasama dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Sementara itu, Norhayati amat menyokong sebarang program anjuran NGO terutamanya yang boleh membantu dan memanfaatkan masyarakat.
Beliau juga akan cuba menghulurkan bantuan kepada NGO yang ingin berbuat demikian.
#PerakKini #buburlambuk #kongsirezeki #Ramadan #TheBojenCarWashandSpa #kedaiemasRozita #AznoKatering #Tambun #RBZ
