Tong sampah percuma bantu kurangkan pembuangan sampah haram

Beberapa penduduk Taman Kinding Raya membawa pulang tong sampah percuma yang mereka terima hari ini.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pemberian tong sampah secara percuma oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah banyak membantu mengurangkan masalah pembuangan sampah haram di sekitar bandar raya ini.

Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata sejak program ini dilaksanakan, ia banyak memberi impak positif terutamanya cara pengurusan sampah dalam kalangan penduduk.

“Kita lihat pemberian tong sampah secara percuma ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah pembuangan sampah haram terutamanya di sekitar kawasan perumahan,” katanya.

Mazlan bersama penduduk Taman Kinding Raya yang menerima tong sampah percuma sumbangan MBI hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 200 tong sampah berkapasiti 120 liter kepada penduduk di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinding Raya, Rizal Misran dan Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Kinding Raya, Anuar Johari.

Menurutnya, sebanyak 4,000 tong sampah sudah diberikan kepada penduduk yang tinggal di bawah Zon 1 MBI sejak tahun lalu.

Mazlan menyerahkan tong sampah percuma sumbangan MBI kepada penduduk di Taman Kinding Raya, hari ini.

“Justeru, kita harap mereka yang mendapat tong sampah  ini akan menggunakannya serta menjaganya sebaik mungkin supaya tidak hilang,” katanya.

Katanya, MBI akan mengenakan tindakan tegas ke atas pembuang sampah haram dengan mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 tanpa sebarang rayuan yang berkuat kuasa sejak 3 Ogos lalu.

#PerakKini #MBI #tongsampah #percuma

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *