TPM lulus peruntukan RM1 juta naik taraf Sekolah Izzuddin Shah

Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan RM1 juta bagi kerja membaik pulih serta menaik taraf fasiliti dan infrastruktur Sekolah Izzuddin Shah (SIS).
Beliau berharap wang peruntukan yang diberikan itu akan digunakan sebaik mungkin supaya sekolah itu kelihatan setaraf dengan sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
“Mungkin ada beberapa keperluan seperti pagar yang paling canggih tapi belum saya tengok dewan, asrama dan dewan makan maka sebagai Timbalan Perdana Menteri saya berilah peruntukan RM1 juta.
“Gunakalah wang itu sebaiknya, saya akan datang untuk melihat pelaksanaannya nanti. Saya mahu alma mater saya ini sama cantik, sama membangun, sama kemajuan dengan sekolah-sekolah yang lain di seluruh negara,” katanya yang pernah bersekolah tingkatan lima di situ pada tahun 1970.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di SIS, pada Jumaat.
Hampir 1,500 orang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat hadir pada majlis berkenaan.
Selain merapatkan hubungan ukhwah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan sumbangan duit raya dan bakul makanan kepada 140 orang anak-anak yatim dan tahfiz.
Masjid Ulu Kuang Chemor dan Masjid Pasir Puteh Ipoh masing-masing menerima Bantuan Imarah Masjid sebanyak RM3,000 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi menampung perbelanjaan masjid dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga telah memberi sumbangan bakul makanan bernilai RM120 kepada lima orang saudara baru Islam daripada masyarakat Orang Asli Kampung Chadak, Ulu Kinta.
Dalam majlis itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick Win’ KEMAS berjumlah RM170,000 kepada peserta dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan.
#PerakKini #SekolahIzzuddinShah #SIS #KEMAS #JAKOA #RISDA #RBZ
