‘Trash4cash’: Pusat kitar semula pandu lalu automatik pertama di Ipoh, jom tukar ‘sampah’ kepada duit

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik Trash4cash pertama dibuka di Padang Lintau, Manjoi di sini memberi peluang kepada warga bandar raya ini untuk menukar ‘sampah’ kepada duit berkonsepkan ‘Do It Yourself’ (DIY).

Pusat kitar semula yang diselenggara Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB) ini beroperasi setiap hari, 24 jam, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun tanpa pekerja.

Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Trash4cash bagi kutipan bahan kitar semula dari rumah ke rumah dan pemain industri juga boleh memohon kutipan bahan kitar semula serta mendapat ganjaran tunai secara atas talian dalam tempoh 48 jam.

Setakat ini, perkhidmatan kutipan tersebut hanya terhad di Ipoh, Manjoi, Meru, Batu Gajah, Perak Tengah serta Kuala Kangsar dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 019-472 9020.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata penubuhan pusat kitar semula ini membuktikan komitmen Majlis Bandaraya Ipoh dan kesungguhan syarikat MUMSB untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang bersih, sihat dan sejahtera bagi penduduk setempat.

“Kerjasama awam dan swasta ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat bagi merealisasikan hasrat MBI ke arah pengiktirafan Ipoh ‘Smart and Green City’ menjelang 2030.

“Selaras dengan era ‘Green and Digital Teknologi’, pengoperasian pusat kitar semula ini akan menggunakan aplikasi digital dan tenaga solar sepenuhnya bagi tujuan pendaftaran, pemantauan dan komunikasi, kutipan dan pembayaran, dan juga maklumat aktiviti kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik Trash4cash di Padang Lintau, Manjoi pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MUMSB Azmi Amin Sarji; Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI, Ahmad Hair Faizal Yahaya.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata bagi memastikan kelancaran operasi, kaedah konvensional seperti meletakkan nama dan nombor telefon di atas pita pelekat juga akan digunakan bagi memudahkan semua lapisan masyarakat untuk menggunakan fasiliti ini.

“MBI yakin sebagai sebuah platform kitar semula digital yang pertama di Malaysia yang telah beroperasi sejak tahun 2020, aplikasi Trash4cash ini telah melalui fasa pembangunan, pengoperasian dan penambahbaikan dan ianya mampu membawa nilai tambah dan rangsangan positif kepada Pengurusan Sisa Pepejal di MBI dan di negeri Perak secara keseluruhannya,” ujarnya.

Katanya, bagi merancakkan lagi aktiviti kitar semula ini, dan sebagi komitmen ‘MBI Walk the Talk’, pengurusan dan seluruh warga MBI akan menyertai skim perlindungan insuran kemalangan diri ‘Trash4protection’ yang menggunakan bahan kitar semula sebagai bayaran premium.

“Skim ini mampu membantu masyarakat yang tidak berkemampuan untuk mempunyai skim perlindungan asas kesihatan diri, dan pada masa yang sama menjaga kelestarian alam sekitar.

“Semua lapisan masyarakat yang akan menggunakan fasiliti ini sepenuhnya diharap akan memastikan kawasan persekitaran pusat kitar semula ini bersih pada setiap masa,” ujarnya.

#PerakKini #MUMSB #Trash4cash #MBI #Ipoh #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *